arena

Enam atlet olahraga ada peluang ke Olimpik

Oleh BERNAMA

ENAM atlet olahraga kebangsaan dikenal pasti mempunyai peluang untuk meraih tiket secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bakal berlangsung pada tahun hadapan.

Atlet berkenaan ialah dua jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei dan Nauraj Singh Randhawa, atlet lempar cakera lelaki, Muhammad Irfan Shamsuddin, pemegang rekod kebangsaan lompat jauh, Andre Anura Anuar, pemegang rekod kebangsaan lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail selain pelari pecut kebangsaan, Muhammad Haiqal Hanafi.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil berkata, kesemua atlet berkenaan masih berpeluang mengintai tiket merit ke Tokyo dalam beberapa kejohanan kelayakan pada awal tahun hadapan memandangkan banyak kejohanan tahun ini terpaksa ditangguh atau dibatalkan kerana Covid-19.

"Enam nama ini dipilih berdasarkan catatan terbaik masing-masing dalam kejohanan sebelum ini, dan senarai akhir akan diputuskan selepas perbincangan di antara Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Sekiranya mereka gagal layak secara merit, seorang daripada mereka yang mempunyai catatan terbaik akan mengisi satu slot 'wildcard' yang ditawarkan oleh Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF)," katanya.

Dalam pada itu, bekas atlet kebangsaan itu berharap skuad olahraga negara dapat kembali menjalani latihan seperti biasa di MSN Bukit Jalil dalam tempoh terdekat walaupun keutamaan diberikan kepada atlet yang tersenarai dalam program Road to Tokyo (RTT) 2020.

Mohd Manshahar berkata, setakat ini MSN hanya membenarkan atlet yang tersenarai dalam Program RTT untuk menjalani latihan persediaan selama sebulan di tiga venue bermula 1 Jun ini iaitu di MSN Bukit Jalil, Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara, dan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Langkawi.

"Saya difahamkan mereka tidak dibenarkan masuk dan keluar sesuka hati terutamanya di MSN Bukit Jalil bagi mengelakkan penyebaran Covid-19 dan prosedur operasi standard yang ditetapkan sangat ketat," katanya.

Mohd Manshahar mendedahkan atlet olahraga kebangsaan masih menjalani latihan ringan di rumah masing-masing sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lalu, dan perkembangan latihan mereka dipantau oleh jurulatih masing-masing menerusi aplikasi dalam talian seperti Zoom.

Disiarkan pada: May 21, 2020 @ 5:09pm
d