mutakhir

Jumpa bayi depan rumah

Oleh Nor Farhani Che Ad

BAYI perempuan ditemui di hadapan sebuah rumah kosong di Kampung Sungai Deraka, Kota Kuala Muda, Sungai Petani, hari ini.

Bayi berkenaan ditemui adik kepada pemilik rumah berkenaan, Md Rashid Bakar, 54, ketika datang melihat kediaman terbabit pada 9.15 pagi.

"Rumah abang, Razali, 58, sebelum ini disewa oleh pasangan suami isteri. Mereka keluar dan mengosongkan rumah berkenaan petang semalam.

"Bila depa keluar, pagi ini saya datang nak tengok rumah memandangkan saya memang diamanahkan abang untuk menjaga rumah ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Md Rashid berkata, ketika sampai di rumah berkenaan, dia ternampak sesuatu yang bergerak di dalam bungkusan kain batik berwarna merah di hadapan pintu rumah terbabit.

Katanya, apabila dia menghampiri bungkusan berkenaan, dia ternampak muka bayi terbabit sebelum bertindak menghubungi pihak polis.

"Saya memang tidak berani memegang bayi itu, namun dia kelihatan tenang dan tidak menangis," katanya.

Dia berkata, kakitangan perubatan tiba di lokasi kejadian beberapa minit kemudian sebelum membawa bayi berkenaan untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah mengesahkan penemuan bayi berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan forensik berhubung penemuan bayi itu.

Disiarkan pada: May 28, 2020 @ 1:54pm
d