utama

Rusuhan di AS makin tenat

Oleh Agensi

Los Angeles: Pelakon drama bersiri Insecure, Kendrick Sampson mendakwa dia terkena peluru getah sebanyak tujuh kali ketika menyertai perhimpunan bagi membantah kematian George Floyd pada Sabtu lalu.

Sampson yang berkongsi pengalamannya menerusi Twitter berkata, ketika kejadian, dia melihat polis menghalakan senjata api sebelum melepaskan peluru getah terhadapnya.

"Saya terkena peluru getah sebanyak tujuh kali dan beberapa kali (terkena) kayu cota," katanya seperti yang dilaporkan CNN.

Pelakon yang juga aktivis itu antara ribuan rakyat Amerika Syarikat (AS) yang menyertai protes di beberapa bandar utama di negara itu bagi membantah kematian Floyd.

Dalam pada itu, ibu negara AS, Washington dan beberapa bandar utama di negara itu kini dikenakan perintah berkurung.

Isnin minggu lalu, kematian Floyd, 46, mencetuskan kemarahan apabila seorang pegawai polis kulit putih, Derek Chauvin bertindak di luar batas kemanusiaan ketika menahan mangsa.

Rakaman video menunjukkan Chauvin menekan lututnya di leher mangsa walaupun Floyd berulang kali mengatakan dia tidak boleh bernafas.

Floyd meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Perintah berkurung kini dikuatkuasakan di Washington, Los Angeles, Houston dan Minneapolis.

Pengawal kebangsaan juga sudah dihantar ke bandar terbabit bagi menyuraikan perusuh.

Selain itu, rusuhan turut berlaku di New York, Miami dan Washington.

Dalam pada itu, polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan perusuh yang berhimpun di sebuah taman berhampiran White House, pada malam Ahad.

Ia selepas Presiden AS Donald Trump melabelkan individu yang terbabit dalam rusuhan berkenaan sebagai 'pengganas tempatan'.

Satu laporan mendakwa agen Perkhidmatan Rahsia AS terpaksa menyembunyikan Trump di kubu bawah tanah di White House selepas satu rusuhan tercetus di lokasi berhampiran.

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 6:30am
d