mutakhir

Lagi laporan SPRM terhadap Lim Guan Eng, Tommy Thomas [METROTV]

Oleh Norzamira Che Noh

GERAKAN Aktivis Tuntut Malaysia (TUNTUT) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, membabitkan isu salah guna kuasa.

Pengerusi TUNTUT A'zlan Abu Bakar berkata, pihaknya tampil membuat laporan di SPRM Selangor berikutan pendedahan yang dilakukan oleh sebuah portal berita hari ini.

"Kami terpanggil untuk membuat laporan SPRM selepas melihat pendedahan yang dikeluarkan oleh sebuah portal.

"Menerusi pendedahan itu, ia jelas mengatakan berlaku salah guna kuasa sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang membabitkan Kementerian Kewangan dan Peguam Negara.

"Integriti tidak boleh dikompromi dan kami juga membuat kejutan dengan menyertakan kronologi konspirasi dua individu berkenaan.

"Kami menyerahkannya kepada SPRM untuk siasatan lanjut," katanya ditemui di hadapan Pejabat SPRM Selangor di sini.

Beliau berkata, SPRM diharapkan melakukan siasatan segera kerana pihaknya tidak mahu isu itu dipadam atau berkemungkinan ada individu melarikan diri.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan.

Terdahulu, beberapa bahagian Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat laporan kepada SPRM terhadap Guan Eng dan Thomas berhubung akaun bank seorang ahli perniagaan dibekukan.

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 7:29pm
d