spektrum

Wau daun palas tradisi yang hilang

Oleh BERNAMA

DARI celah daun pintu yang terbuka, kelihatan seorang lelaki warga emas sedang sibuk meraut buluh sebelum dicantum menjadi rangka wau.

Bagi menghilangkan rasa penat, sesekali Samat Man, 73, lebih mesra dengan panggilan Pak Non menggesek biola sambil menyanyikan lagu 'Itik pulang petang' sebagai hiburan dalam menyiapkan Wau Helang, wau tradisi unik menggunakan daun palas.

Pernah mendapat pengiktirafan sebagai Adiguru Kraf Wau oleh Kraftangan Malaysia pada 2018, Pak Non mula mempelajari teknik membuat wau menggunakan daun palas daripada datuknya ketika berusia belasan tahun.

Pak Non berkata, berdasarkan cerita datuknya, masyarakat pada zaman dahulu di Perlis menggunakan daun palas untuk dijadikan wau sebelum penggunaan kertas diperkenalkan.

"Menurut cerita tok wan, orang dulu-dulu di Perlis guna daun palas untuk membuat wau kerana pada masa itu sukar untuk mendapat kertas, seingat Pak Non kali terakhir melihat pembuat wau guna daun palas sekitar tahun 1970-an.

"Proses membuat wau palas adalah lebih rumit dan mengambil masa yang agak panjang berbanding wau biasa kerana memerlukan ketelitian bermula daripada proses mengeringkan, membentuk, menjahit daun dan melekatkan daun palas pada badan wau," katanya kepada Bernama di Kampung Tok Kaya dekat Kuala Perlis.

Menceritakan proses pembuatan wau palas, Pak Non menjelaskan, daun palas yang sesuai digunakan untuk membuat wau adalah 'Palas Jin' atau palas hutan tumbuh berdekatan bukit kerana daunnya lebar berbanding daun palas untuk membuat ketupat.

"Daun palas perlu dijemur selama dua hari hingga kering dan diseterika bagi mengurangkan kedutan dan membentuk permukaan licin," katanya sambil menjahit kepingan daun palas sebelum dilekatkan ke bahagian sayap wau.

Beliau berkata wau palas lebih tahan lasak berbanding wau daripada kertas yang mudah rosak dan koyak apabila terkena air.

"Daripada pemerhatian Pak Non, daun palas tidak cepat rosak jika terkena air dan wau akan lebih anjal berbanding wau yang dibuat daripada kertas," katanya membuat cantuman terakhir pada bahagian sayap wau.

Katanya, daun palas yang dijahit menggunakan benang kapas lebih kemas jika dicantumkan menggunakan getah Rumbia namun bahan tersebut sukar diperolehi pada masa kini.

Menurut Pak Non, beliau ingin melihat tradisi wau palas dihidupkan semula dan sedia memberi tunjuk ajar jika ada anak muda yang berminat kerana tidak mahu warisan Melayu itu hilang begitu sahaja tanpa generasi pelapis.

Sementara itu, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis Ahmad Said berkata, berdasarkan catatan lisan, orang tua dahulu pernah menghasilkan wau menggunakan daun palas sebelum penggunaan kertas dalam pembuatan wau diperkenalkan.

Katanya, penggunan bahan dari alam sekitar dalam penghasilan wau adalah baik dan bahan-bahan itu boleh diinovasi bagi memberi nilai tambah kepada bahagian gantian dalam pembuatan wau tradisional mengikut kesesuaian.

Disiarkan pada: June 4, 2020 @ 4:09pm
d