utama

Untunglah Kak Radziah

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

KERAJAAN memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi menjana semula ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Penjana yang bertemakan Bersama Menjana Ekonomi mempunyai tiga teras utama iaitu memperkasakan rakyat; melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.

"Secara keseluruhan, terdapat 40 inisiatif bernilai RM35 bilion di bawah Penjana. Daripada jumlah ini, RM10 bilion adalah suntikan fiskal langsung daripada Kerajaan," katanya pada Perutusan Khas Penjana, semalam.

Perdana Menteri turut memberi beberapa contoh mudah bagaimana Penjana dapat memberi manfaat kepada rakyat.

"Kak Radziah pengusaha taska di bawah pakej Prihatin sudah mendapat manfaat daripada subsidi upah dan sebagai seorang usahawan mikro juga menerima Geran Khas Prihatin RM3,000.

"Di bawah Penjana, Kak Radziah sekarang dapat menikmati perlanjutan subsidi upah untuk tiga bulan lagi.

"Di samping itu, dengan pembukaan semula taska selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kak Radziah juga sekarang layak menerima bantuan taska RM5,000 dan insentif kursus asuhan RM900 bagi setiap pekerjanya," katanya.

Beliau berkata, satu lagi contoh adalah Datuk Lim yang mana di bawah Prihatin, Datuk Lim mendapat manfaat daripada moratorium pinjaman bank yang membantu kelangsungan aliran tunai perniagaannya.

Selain itu, katanya, perniagaan Datuk Lim di bawah Prihatin juga dikecualikan levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).

"Ekoran pengecualian cukai untuk pembelian rumah dan kereta di bawah Penjana, Datuk Lim sekarang berminat untuk membeli pangsapuri dan kereta untuk anak dewasanya.

"Bagi menyokong mengurus perniagaannya dari rumah, Datuk Lim menikmati internet percuma bagi membuat persidangan video dan dapat pengecualian cukai pendapatan untuk pembelian komputer riba baharunya," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau berharap melalui 40 inisiatif yang diumumkan itu, semua pihak termasuk sektor swasta dan orang ramai dapat memberikan kerjasama dan memainkan peranan sebaiknya.

Beliau berkata, pasukan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) yang sudah ditubuhkan di Kementerian Kewangan akan mempertingkatkan lagi pemantauan terhadap semua inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 9:00am
d