mutakhir

PAS yakin PN mampu hadapi PRU 15

Oleh Yusmizal Dolah Aling

PAS yakin kerjasama dan sikap bertoleransi semua anggota Perikatan Nasional (PN) kini akan menguatkan lagi kedudukan kerajaan sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri sehingga ke akhir penggal.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan berkata, adalah fakta yang jelas bahawa kerjasama politik antara PAS dengan BN, khususnya Umno sudah dimuktamadkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman pada 14 September 2019 sekaligus membentuk Muafakat Nasional (MN).

Katanya kerjasama sehingga terbentuknya kerajaan persekutuan ekoran kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada 29 Februari 2020, diikuti pemeteraian Memorandum Persefahaman oleh Pengerusi-Pengerusi dan Presiden- Presiden BN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan parti dari Sabah dan Sarawak secara rasminya membentuk Perikatan Nasional (PN).

"Pas menegaskan bahawa kerjasama politik terutamanya bersama Barisan Nasional (BN) dan Bersatu semakin mantap sekaligus berjaya memperkukuhkan lagi kedudukan PN yang menjadi 'kerajaan hari ini'.

"Tanpa menghiraukan segala spekulasi pihak pembangkang yang hanya perang psikologi semata-mata, Pas akan terus sama-sama komited mendukung dan mempertahankan kedudukan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan kabinetnya yang terdiri dari semua parti anggota," katanya.

Takiyuddin berkata, Pas yakin parti yang membentuk PN sudah bersedia untuk memacu tenaga dan jentera bagi melengkapkan persiapan dan kesiapsiagaan barisan bersama termasuk memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU 15) meskipun tarikhnya belum diputuskan.

Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 11:42am
d