mutakhir

Keputusan rayuan BPN pertengahan Jun [METROTV]

Oleh BERNAMA

KEPUTUSAN rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) akan dikeluarkan pertengahan Jun ini, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

"Tarikh terperinci akan dimaklumkan dalam masa terdekat," katanya menerusi perkongsian Laporan Kelapan Pencapaian Prihatin - Laksana di laman Facebook beliau, hari ini.

Secara keseluruhannya, daripada 10.6 juta penerima BPN yang diluluskan, seramai 10.04 juta penerima dibayar dengan jumlah bayaran sebanyak RM10.78 bilion atau 96.7 peratus sehingga 5 Jun lalu.

Selebihnya, Tengku Zafrul berkata penerima boleh menuntut di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) sehingga 31 Disember depan.

Bagi program i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sehingga 5 Jun, sebanyak 4.1 juta permohonan diluluskan iaitu peningkatan daripada 4 juta sebelum ini.

"Jumlah pembayaran ini membabitkan RM1.94 bilion sebulan," katanya.

Sementara itu, bagi inisiatif pengurangan caruman KWSP oleh pekerja daripada 11 peratus kepada tujuh peratus, sehingga 5 Jun, lebih 5.7 juta pekerja memilih untuk meneruskan pengurangan caruman mereka.

Beliau berkata jumlah pengurangan caruman yang diterima ahli KWSP sehingga ini adalah sebanyak RM1.87 bilion manakala jumlah pencarum yang memilih untuk mengekalkan caruman pada kadar 11 peratus kini sebanyak 1.85 juta (berbanding 1.7 juta sebelum ini).

Bagi bayaran khas RM600 secara one-off (sekali) yang akan diberikan kepada pemandu pelancong, Tengku Zafrul berkata sehingga 5 Jun masih terdapat pembayaran tertangguh untuk 1,868 daripada 8,323 pemandu pelancong disebabkan maklumat bank yang tidak tepat.

"Mereka yang layak tetapi masih belum mendapat bayaran boleh menuntut pembayaran secara tunai di kaunter BSN mulai 15 Jun, 2020," tambahnya.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 3:41pm
d