mutakhir

Terima kasih abang bomba

Oleh Nor Farhani Che Ad

TINDAKAN pantas bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang mengalami kejang otot akibat terkena renjatan elektrik di tingkat dua sebuah pasar raya di Legenda Height, di Sungai Petani, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.20 malam.

Beliau berkata, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian kejadian bagi menyelamatkan mangsa.

"Difahamkan lelaki berusia 34 tahun itu sedang membaiki penyaman udara di tingkat dua di bahagian luar kompleks berkenaan .

"Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik dan mengalami kekejangan otot, mangsa juga tidak dapat turun dengan sendiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, anggota operasi bertindak memasang tangga dan berjaya menurunkan mangsa .

Katanya, mangsa tidak mengalami kecederaan yang serius dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan.

"Operasi tamat sepenuhnya pada 11.13 malam," katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 9:15am
d