bisnes

Suntikan RM40B

Oleh BERNAMA

MORATORIUM bayaran balik pinjaman institusi kewangan sejak berkuat kuasa pada 1 April lalu hingga 12 Jun lalu dianggarkan berjumlah RM40 bilion, menurut Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana), Kementerian Kewangan.

Moratorium yang dianggarkan berjumlah RM100 bilion itu sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merancakkan ekonomi negara ketika menghadapi pandemik Covid-19.

Laksana dalam kenyataan berkata, bagi Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima 191,000 rayuan antara 11 dan 31 Mei lalu dengan 181,000 daripada permohonan itu diluluskan.

"Jumlah pembayaran BPN yang terbabit ialah RM162 juta dibayar, sekali gus pada akhir Jun," kata kenyataan itu.

Bagi Geran Khas Prihatin yang diumumkan untuk membantu perniagaan, RM1.46 bilion dibayar kepada 488,587 pemohon yang diluluskan pada 31 Mei lalu.

"Sementara itu, bagi 35,859 permohonan yang lulus selepas disemak lanjut pada 5 Jun lalu, pembayaran dibuat mulai 29 Jun ini yang bernilai RM107.57 juta. Setiap permohonan lulus menerima geran RM3,000," katanya.

Dalam pada itu, sehingga 12 Jun lalu, RM4.08 bilion diluluskan kepada 295,265 majikan yang memanfaatkan lebih 2.31 juta pekerja iaitu peningkatan RM80 juta daripada minggu sebelumnya di bawah program subsidi upah dan subsidi upah ditambah baik.

Laksana berkata, bagi Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga 12 Jun lalu, 31,400 permohonan diterima dengan kelulusan kepada 7,194 permohonan bernilai RM47.9 juta bagi caruman KWSP majikan, meningkat berbanding RM42.9 juta minggu lalu.

"Bagi dana Pinjaman Mudah PKS dikendalikan Bank Negara Malaysia, permohonan diluluskan bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS (perusahaan kecil dan sederhana) sehingga 12 Jun lalu ialah RM7.8 bilion.

"Ini memanfaatkan sejumlah 18,449 entiti PKS. Jumlah ini termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas dan Kemudahan Agromakanan," katanya.

Menurut kenyataan itu, Laksana terus memantau pelaksanaan pakej Prihatin.

"Pelaporan bagi inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) pula dibuat selepas ia dimulakan secara berperingkat," katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 7:15am
d