mutakhir

Kanak-kanak tersangkut atas pokok mata kucing

Oleh Zuliaty Zulkiffli

KANAK-kanak lelaki berusia 11 tahun tersangkut atas pokok mata kucing pada ketinggian satu meter berhampiran rumahnya di Kampung Pida 3, di Jitra, malam tadi.

Berikutan itu, pasukan bomba dipanggil untuk membantu mengeluarkan sebahagian paha dan betis mangsa yang tersepit, dalam kejadian pada 7.45 malam itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung khidmat khas mangsa tersepit pada pokok itu pada 7.57 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Adnan Ahmad tiba di di lokasi pada 8.26 malam.

"Operasi disertai lapan anggota bersama dua jentera.

"Tindakan anggota BBP Jitra adalah dengan mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas rescue tools (spreader) dan operasi dilakukan dengan berhati-hati," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, mangsa berjaya dikeluarkan dari pokok itu dan operasi mengambil masa tiga minit.

Beliau berkata, bagaimanapun mangsa dan tidak mengalami kecederaan serius dan hanya mengalami kebas pada kaki.

Disiarkan pada: June 20, 2020 @ 8:51am
d