mutakhir

Ahmad Tarmizi Pengerusi MADA yang baharu

Oleh Noorazura Abdul Rahman

AHLI Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman dilantik Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berkuat kuasa 16 Mei lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pemilihan Ahmad Tarmizi dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Pelantikan Ahmad Tarmizi berkuat kuasa 16 Mei 2020 sehingga 15 Mei 2022 selepas mendapat perkenan Agong," katanya dalam sidang media selepas lawatan kerja ke MADA, Alor Setar, hari ini.

Ahmad Tarmizi menggantikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilantik berkuat kuasa 1 Mac 2019.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi berkata, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk menerajui MADA.

Katanya, beliau merancang untuk terus memperkasakan petani di bawah MADA sehingga mampu menghasilkan 75 peratus hasil padi negara sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup golongan terbabit.

"Kita ada sasaran untuk mencapai 75 peratus produktiviti hasil padi, mungkin ke depan kita boleh mengurangkan import beras.

"Dalam masa yang sama MADA akan terus menyantuni petani dengan menyelami masalah yang dihadapi dan kita akan atasi masalah mereka bersama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK)," katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2020 @ 5:36pm
d