mutakhir

Jeffrey Chew direman empat hari [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

BEKAS Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Jeffrey Chew Gim Eam direman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown Nur Fadrina Zulkhairi di Lokap Berpusat Bayan Baru.

Peguam RSN Rayer yang mewakili Jeffrey berkata, beliau tidak dapat memberi maklumat berhubung penahanan anak guamnya kerana kes itu masih dalam siasatan.

"Saya tidak boleh beri maklumat lain kerana masih dalam siasatan, tetapi ia berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap satu laporan yang diterima, baru-baru ini," katanya.

Sebelum itu, Jeffrey yang juga bekas Timbalan Bendahari DAP dibawa ke Lokap Berpusat Bayan Baru dengan kenderaan SPRM pada 1.45 tengahari.

SPRM semalam menahan Jeffrey selepas mengambil keterangan lelaki itu di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown pada 2 petang.

Pelbagai kontroversi tercetus berhubung projek terowong sepanjang 7.2 kilometer (KM) menghubungkan Persiaran Gurney di Georgetown ke Bagan Ajam di Butterworth yang dianggarkan bernilai RM6.3 bilion.

Terdahulu, SPRM dalam kenyataan pada 4 Mac lalu mengesahkan membuka enam kertas siasatan berhubung projek terowong dasar laut berkenaan.

Dalam kenyataan itu, SPRM memaklumkan kertas siasatan pertama dibuka pada Julai 2017, manakala lima lagi dibuka pada Januari 2018.

Sebanyak lima kertas siasatan sudah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Manakala, tiga kertas siasatan dikembalikan kepada agensi itu untuk siasatan lanjut, manakala dua lagi masih dalam kajian Timbalan Pendakwa Raya.

Berita berkaitan

'Kita tidak tahu apakah siasatan yang dilakukan SPRM' - Chow

Jeffrey Chew ditahan bantu siasatan kes rasuah terowong dasar laut

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 6:03pm
d