mutakhir

Ketua Menteri Pulau Pinang beri keterangan Selasa hadapan

Oleh Nur Izzati Mohamad

KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dijangka akan memberi keterangan berhubung projek terowong dasar laut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa hadapan.

Perkara itu dimaklumkan sendiri Kon Yeow ketika tiba di hadapan bangunan SPRM negeri di Jalan Sultan Ahmad Shah di Georgetown pada 12.15 tengah hari ini.

Menurutnya, beliau diatur oleh pihak SPRM untuk memberi keterangan berhubung projek berkenaan pada Selasa hadapan tanpa mendedahkan apa pertanyaan yang akan disoal.

Terdahulu, beliau tiba di pejabat SPRM negeri untuk memberi sokongan terhadap bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Jeffrey Chew Gim Eam yang dibebaskan selepas tempoh tahanan reman tamat hari ini.

Difahamkan, Jeffrey yang juga bekas Timbalan Bendahari DAP itu dibebaskan tanpa syarat selepas direman empat hari.

Sementara itu, bekas Exco Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri Datuk Lim Hock Seng berada di pejabat SPRM untuk diambil keterangan.

Sebelum ini, bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) 'panas' selepas SPRM kembali membuat lawatan bagi membantu siasatan berhubung projek dasar laut itu yang dianggarkan bernilai RM6.3 bilion.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki memaklumkan seramai 32 saksi tambahan sudah diambil keterangan dalam tempoh lima hari untuk melengkapkan siasatan projek terowong dasar laut itu.

"Pada minggu hadapan pula, 10 ke 15 lagi saksi relevan berkenaan projek itu akan diambil keterangan," katanya.

Menurutnya, SPRM tidak pernah menutup atau berhenti dari melakukan penyiasatan berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Disiarkan pada: July 4, 2020 @ 2:37pm
d