arena

'Super KIP' tunggu surat

Oleh Aida Adilah Mat

PELUMBA Moto3 negara, Khairul Idham Pawi tetap bermotivasi untuk terus memburu mata dalam aksi Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) biarpun masih dibelenggu dengan masalah sekatan untuk memasuki Sepanyol.

Bagaimanapun, usaha sedang dilakukan bagi membolehkan pelumba yang terkenal dengan jolokan 'Super KIP' untuk berlepas secepat mungkin agar dapat beraksi di Litar Jerez, Sepanyol pada 19 dan 26 Julai.

Kelmarin, Khairul yang beraksi bersama pasukan Petronas Sprinta Racing gagal berlepas ke Sepanyol kerana sekatan kemasukan pelancong dikenakan Kesatuan Eropah yang menghalang rakyat negara ini memasuki negara itu.

"Penerbangan saya sepatutnya pada hari Jumaat namun dihalang sebab rakyat Malaysia tidak dibenarkan untuk memasuki Sepanyol.

"Sekarang ini saya tengah tunggu surat jemputan daripada Sepanyol bagi membolehkan pelumba negara untuk memasuki negara itu.

"Bagaimanapun masih belum ada sebarang keputusan bilakah saya boleh ke sana tapi menurut maklumat yang diterima mungkin hari Isnin atau Selasa. Jadi sekarang ini saya tunggu saja daripada pihak sana," katanya.

Terdahulu Prinsipal pasukan Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang berurusan dengan Dorna Sports, pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP untuk bekerjasama dengan kerajaan Sepanyol supaya memberi pengecualian dan kebenaran kepada semua pelumba Malaysia yang beraksi dalam MotoGP memasuki negara terbabit.

Selain Khairul, turut akan berlepas ke Sepanyol bagi menghadapi kejuaraan dunia adalah Hafizh Syahrin Abdullah dan Kasma Daniel Kasmayudin yang akan beraksi dalam saingan Moto2.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama dimaklumkan bahawa pelumba negara dikatakan bakal menerima surat kebenaran itu Isnin ini dan dijadualkan berlepas mengikut tarikh tiket yang dibeli oleh pasukan masing-masing.

Untuk rekod pelumba negara yang menyertai Kejohanan Dunia MotoGP sudah mendapat 'lampu hijau' daripada kerajaan untuk beraksi di Jerez, Sepanyol.

Kejohanan MotoGP Dunia 2020 akan akan membabitkan 13 pusingan perlumbaan di Eropah antara Julai dan November, dengan terdapatnya potensi untuk empat pusingan di luar Eropah pada November dan Disember.

Disiarkan pada: July 4, 2020 @ 4:58pm
d