mutakhir

Bomba selamatkan 15 kucing

Oleh Zuhainy Zulkiffli

TINDAKAN pantas anggota bomba mengawal kebakaran di sebuah unit pangsapuri di Puncak Erskine, Tanjung Bungah di Georgetown turut menyelamatkan 15 ekor kucing peliharaan, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, Mohd Ridzuan Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 11.50 pagi.

Katanya, seramai 17 anggota dari BBP Bagan Jermal dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

"Ketika tiba di lokasi, didapati kebakaran berlaku di unit rumah tingkat 10 pangsapuri berkenaan dan api marak menyebabkan kemusnahan sehingga 30 peratus.

"Anggota bomba turut berjaya menyelamatkan 15 ekor kucing yang dipercayai kepunyaan pemilik rumah berkenaan," katanya.

Menurutnya, tiada mangsa cedera dalam kejadian itu dan kesemua kucing terbabit berada dalam keadaan baik.

Katanya, setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: July 7, 2020 @ 7:03pm
d