mutakhir

Lantikan Azalina bukti kerajaan iktiraf kepimpinan wanita

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

PELANTIKAN Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat membuktikan peranan wanita terus diiktiraf kerajaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pengalaman sebagai menteri dan pengamal undang-undang membolehkan Azalina mengawal Dewan Rakyat dengan baik dan lancar.

Menurutnya, pelantikan yang melakar sejarah ini adalah langkah progresif kerajaan meletakkan peranan tertinggi wanita dalam negara.

"Ini adalah langkah untuk memperkasakan peranan wanita dalam usaha mereformasi tadbir urus yang lebih telus.

"Pelantikan ini juga bukan saja memartabatkan wanita malah memberi inspirasi kepada kaum hawa untuk memainkan peranan lebih signifikan," katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Sidang media turut dihadiri Ahli Parlimen wanita Perikatan Nasional (PN) antaranya Datuk Seri Rina Harun, Mastura Mohd Yazid, Datuk Seri Abdul Karim dan Datuk Hanifah Hajar Taib.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang dilantik Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu bagi menggantikan Nga Kor Ming yang meletak jawatan.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, memaklumkan pemilihan Azalina dibuat selepas hanya ada seorang calon dikemukakan ke jawatan berkenaan.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 1:06pm
d