mutakhir

Berhemat, elak boros [METROTV]

Oleh Rafidah Mat Ruzki dan Noor Atiqah Sulaiman

TERDAPAT 63 syor dikemukakan Jabatan Audit Negara bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan aktiviti yang dilaksanakan Kementerian, Jabatan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan.

Bagaimanapun, Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, hanya empat syor utama perlu diambil perhatian oleh pihak berkenaan.

"Syor pertama pihak terbabit perlu merancang sesuatu projek dan aktiviti dengan terperinci termasuk menyelaras dengan pelbagai kementerian atau agensi.

"Bagi syor kedua, kita mahu pihak terbabit meningkatkan sistem kawalan dalaman dengan mewujudkan struktur organisasi dan penurunan kuasa yang jelas, aliran kerja yang telus dan akauntabiliti.

"Syor ketiga ialah perlu meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan dan syor keempat pula melaksanakan latihan yang berterusan kepada setiap peringkat penjawat awam," katanya selepas membentangkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai aktiviti Jabatan, Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Tahun 2018 Siri 3 di Putrajaya, semalam.

Nik Azman berkata, pengauditan prestasi yang dijalankan bertujuan untuk menilai sama ada aktiviti dan projek kerajaan dilaksanakan dengan berhemat, cekap dan berkesan serta sejauh mana objektif aktiviti dan projek berkenaan dapat dicapai.

"Ia juga bertujuan untuk menilai sejauh mana wang awam dibelanjakan dengan berhemat, cekap dan berkesan tanpa berlaku pemborosan dan pembaziran," katanya.

Selain membuat audit pada Kerajaan Persekutuan, LKAN turut menjalankan pengauditan prestasi terhadap 17 program, aktiviti dan projek yang membabitkan 22 jabatan dan agensi kerajaan negeri serta 13 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan di 12 negeri kecuali Perlis.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 7:15am
d