mutakhir

20 petugas KKM terperangkap diselamatkan

Oleh Ramli Ibrahim

PASUKAN penyelamat membawa keluar 20 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Hospital Gombak yang terperangkap di Pos Belatim, dekat Gua Musang, malam tadi.

Mereka terperangkap dalam perjalanan keluar antara Pos Bihai dengan Belatin apabila jambatan runtuh dan jalan tertimbus lumpur.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, operasi menyelamat itu membabitkan 28 anggota dari empat jabatan kerajaan yang bergerak ke Pos Belatim, 10 pagi semalam.

Beliau berkata, antara jabatan terbabit ialah tujuh anggota polis, lima anggota bomba, dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan 14 kakitangan KKM.

Katanya, Pasukan Bergerak Orang Asli Hospital Gombak itu termasuk doktor dikatakan masuk ke Pos Belatim beberapa hari lalu untuk urusan kesihatan.

"Ketika perjalanan pulang 8 malam kelmarin tersekat dengan kejadian jambatan runtuh dan jalan tertutup lumpur dipercayai berlaku tiga jam sebelumnya kerana hujan lebat.

"Mereka diketuai Dr Emirlia melaporkan perkara itu 9.45 malam kelmarin dan kita mengumpulkan 28 anggota penyelamat 10 pagi semalam sebelum bertolak ke Pos Belatim," katanya di Gua Musang, hari ini.

Mohd Taufik berkata, kumpulan itu terpaksa bermalam di lokasi kejadian sementara menunggu anggota penyelamat tiba 3 petang semalam.

Beliau berkata, anggota penyelamat terbabit juga terpaksa berjalan lapan kilometer ke lokasi mereka terkandas kerana jambatan runtuh.

"Kesemua mereka dibawa keluar menggunakan kenderaan disediakan jabatan pasukan penyelamat dan selamat sampai ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) jam 8 malam tadi,"katanya.

Katanya, kesemua kumpulan itu juga dalam keadaan baik dan tidak ada yang bermasalah kesihatan serta makanan mencukupi.

Disiarkan pada: July 19, 2020 @ 11:11am
d