mutakhir

10 minit keluarkan kaki OKU tersepit

Oleh Nor Farhani Che Ad

ANGGOTA bomba mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan kaki wanita orang kurang upaya (OKU) yang tersepit pada mangkuk tandas di Taman Sri Wang di Sungai Petani semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.45 petang.

Menurutnya, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Ketika tiba di lokasi terbabit, anggota mendapati seorang wanita Sindrom Down berusia dalam lingkungan 20-an dalam keadaan kesakitan berikutan kaki kanannya tersepit di mangkuk tandas.

"Anggota bertindak menggunakan peralatan khas 'crow bar' untuk mengumpil bahagian mangkuk tandas," katanya dalam satu kenyataan.

Mohamadul Ehsan berkata, kaki mangsa berjaya dikeluarkan dan tiada kecederaan dilaporkan, operasi tamat sepenuhnya pada 7.10 malam.

Disiarkan pada: July 28, 2020 @ 12:08am
d