bisnes

Beri kesan kepada pemulihan ekonomi

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

PELAKSANAAN semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan pilihan terbaik pada masa ini terutama dalam proses pemulihan ekonomi ketika ini.

Pakar ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, PKP yang dilaksanakan sebelum ini menyaksikan banyak syarikat kecil yang terpaksa 'gulung tikar'.

Katanya, jika PKP dilaksanakan semula, dibimbangi keadaan ini akan menyebabkan syarikat besar pula yang berdepan dengan perkara sama.

"Kita saksikan bagaimana teruk kesan ekonomi ke atas perniagaan dan pekerjaan semasa tempoh PKP dilaksanakan.

"Contohnya, data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar pengangguran pada Mei 2020 mencecah 5.3 peratus.

"Kadar pengangguran untuk Jun dan Julai 2020 dijangka akan kembali menunjukkan penurunan apabila ekonomi sudah hampir keseluruhannya dibuka.

"Di samping itu, inisiatif dan program bantuan yang terkandung di dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Penjana (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) sudah menunjukkan hasil positif ke arah pemulihan ekonomi," katanya kepada Bisnes Metro.

Dr Mohd Yusof berkata, jika PKP dilaksanakan semula, ia seolah-olah memberi gambaran seperti orang yang baharu sahaja boleh berjalan akibat daripada patah kaki, tetapi kakinya patah semula pada tempat sama.

"Akibatnya, proses pemulihan akan bertambah lambat dan berkemungkinan akan menerima kesan yang lebih parah.

"Jika keadaan memerlukan kepada PKP, saya berpandangan kerajaan perlu mempertimbangkan menggunakan kaedah PKP yang bersasar dan terpilih sahaja dan bukannya mengenakan PKP untuk seluruh negara.

"Contohnya, jika suatu kawasan dikenal pasti sebagai kluster baharu, maka PKP boleh dikuatkuasakan ke atas kawasan itu sahaja," katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2020 @ 7:00am
d