mutakhir

Rakyat hilang pekerjaan perlu dibantu dapatkan kerja semula

Oleh Omar Ahmad

LANGKAH kerajaan melanjutkan moratorium dan bantuan bank bersasar disifatkan sebagai langkah bijak dan tepat pada masanya, namun ia perlu mengambil kira keupayaan institusi kewangan, kata Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon.

Ini kerana, beliau berkata, lanjutan moratorium secara berterusan tidak membantu negara memulihkan sektor ekonomi.

"Dalam tempoh moratorium ini, kerajaan perlu mewujudkan jawatankuasa khas bagi membantu rakyat yang kehilangan kerja.

"Sekiranya semua rakyat yang kehilangan kerja dapat dibantu bekerja semula, maka moratorium tidak perlu dilanjutkan lagi, cukup sehingga akhir tahun ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkenalkan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar dilanjutkan tiga bulan lagi khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan dan masih terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Keutamaan pemberian lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar itu akan diberi kepada individu kehilangan pekerjaan dan mereka yang terjejas pendapatan akibat penularan pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 7:02pm
d