mutakhir

'Mereka berkomplot guling kerajaan Warisan, keahlian gugur'

Oleh Rafiqah Dahali

KEAHLIAN ahli Parti Warisan Sabah (Warisan) yang didapati meninggalkan parti untuk menyertai bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman terhenti serta-merta.

Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua berkata, ia selaras dengan perlembagaan parti yang menetapkan keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) gugur secara automatik apabila menyertai organisasi politik lain, namun mereka tidak akan dikenakan apa-apa tindakan.

"Dalam hal ini mereka dianggap bergabung dengan Musa dan berkomplot untuk menggulingkan pemerintahan kerajaan WARISAN Plus.

"Mereka telah dilihat di kediaman Musa dan tiada seorang dari mereka yang menafikan pembabitan mereka itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Loretto berkata, dalam Perlembagaan WARISAN, mengikut Artikel 3.3, keahlian seorang ahli terhenti dengan serta-merta apabila bergabung atau menjadi anggota parti politik lain di negara ini.

"WARISAN tidak berniat untuk mengambil semula mereka dan mendoakan yang terbaik untuk mereka di masa hadapan," katanya.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan Musa mendakwa sudah memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

ADUN daripada WARISAN yang turut menyokong Musa adalah Datuk Hamisah Samad (Tanjung Batu), Datuk Osman Jamal (Balung), Datuk Bolkiah Ismail (Pitas), Datuk Masiung Banah (Kuamut) dan Datuk Muis Picho (Sebatik).

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: July 31, 2020 @ 3:31pm
d