mutakhir

Pintu besi pun tak kebal...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SATU sindiket pelacuran mengubah suai pintu masuk ke premis dengan memasang pintu besi serta pintu bermagnet bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Taktik itu diguna sindiket pelacuran menjadikan rumah kedai di tingkat satu di sebuah bangunan komersial di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, sebagai 'sarang' operasi mereka.

Bagaimanapun, taktik itu tidak berjaya selepas operasi mereka dihidu pihak polis dalam serbuan Operasi Noda dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman pada 5.50 petang hari ini.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya melakukan serbuan di tiga lokasi berasingan di Jalan Mega Mendung dan Jalan Kuchai Maju 13 selain Jalan Klang Lama dalam operasi berkenaan.

"Kami menahan 17 wanita warga asing dari Vietnam, China dan Indonesia yang juga dipercayai pelacur berusia antara 17 hingga 38 tahun di tiga lokasi terbabit.

"Kami turut menahan empat lelaki tempatan berusia 27 hingga 45 tahun yang juga penjaga premis di tiga lokasi berkenaan serta enam pelanggan termasuk seorang lelaki warga China berusia 28 hingga 55 tahun," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, hari ini.

Mohd Zani berkata, pemeriksaan dilakukan mendapati ketiga-tiga premis diserbu itu tidak mempunyai lesen perniagaan sah.

Beliau berkata, satu daripada tiga lokasi berkenaan mempunyai pintu besi dan pintu bermagnet bagi menyukarkan pihak berkuasa mengesan serta masuk ke dalam premis berkenaan untuk melakukan serbuan.

"Semua premis itu didapati menjalankan aktiviti pelacuran sejak beberapa bulan lalu dengan menawarkan khidmat seks wanita warga asing untuk pelanggan tempatan dan warga asing dengan bayaran RM180 bagi setiap kali langganan.

"Semua pelacur itu tinggal di dalam premis berkenaan yang turut menyediakan bilik tidur, dapur memasak dan ruangan mencuci pakaian.

"Kami turut menahan remaja perempuan berusia 17 tahun warga Vietnam yang bekerja sebagai tukang urut," katanya.

Beliau berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 372/372B Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c), Seksyen 55b akta sama dan Seksyen 39b Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, penjaga premis dan pelanggan warga tempatan dikenakan tindakan kompaun Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 7) 2020 kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 10:47pm
d