mutakhir

Lapan penghuni cemas hotel berasap

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TINDAKAN pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan nyawa lapan individu termasuk dua wanita yang terperangkap dalam hotel di Kampung Attap, Kuala Lumpur, akibat kebakaran bilik, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.42 pagi.

Menurutnya, seramai 45 anggota bersama sembilan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, BBP Seputeh, BBP Pudu dan BBP Sentul dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami mendapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah bilik di hotel berkenaan.

"Kita dimaklumkan terdapat lapan penghuni membabitkan enam individu tempatan serta dua warga asing terperangkap di dalam hotel tiga tingkat terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, semua mangsa berjaya diselamatkan menggunakan tangga dalam bangunan dan tangga jentera Aerial Ladder Platform (ALP), selain tiga mangsa berjaya keluar dari bangunan itu dengan sendiri.

"Dua daripada lapan mangsa berkenaan mengalami sesak nafas dan dihantar ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan.

"Kebakaran bilik yang dijadikan sebagai stor itu dapat dikawal pada 12.32 tengah hari tadi. Setakat ini punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2020 @ 4:38pm
d