arena

Lebih baik berlatih di MSN

Oleh Syazwan Msar

KEMUDAHAN yang lengkap dengan tenaga pakar ramai menyebabkan Majlis Sukan Negara (MSN) adalah lokasi sesuai kepada pelari pecut negara Khairul Hafiz Jantan dan Haiqal Hanafi untuk memantapkan keupayaan masing-masing sebagai persediaan menghadapi kejohanan akan datang.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk SM Muthu berkata, ketika ini tiada isu MSN mahu 'merampas' dua pelari pecut berkenaan kerana ketika ini mereka dilepaskan untuk menjalani latihan selama dua minggu bersama pengarah teknikal skuad olahraga negara Dwayne Millers.

Beliau berkata, segala keputusan untuk kekal di Bukit Jalil atau pulang ke pangkuan jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim adalah terletak kepada dua pelari pecut berkenaan selepas tempoh latihan berakhir hujung bulan ini.

"Kami tiada paksaan atau tidak mempengaruhi dua pelari pecut terbabit untuk memilih destinasi latihan pada masa akan datang iaitu terus bersama Millers atau terus dibimbing Mohd Poad.

"Cuma diingatkan, MSN mempunyai pelbagai kelengkapan dan kemudahan untuk atlet terbabit malah turut mempunyai barisan jurulatih yang boleh membantu meningkatkan keupayaan mereka.

"Ketika ini, perkara paling penting adalah dua pelari terbabit selesa berlatih di lokasi mana yang mereka mahu dan dibimbing siapa nanti," ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, perkhabaran Khairul akan meninggalkan Poad mula bertebaran selepas kelibatnya dilihat di Bukit Jalil menjalani latihan bersama Miller.

Namun Poad ketika dihubungi turut memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai masalah dan bersedia melepaskan Khairul Hafiz dan juga Haiqal Hanafi sekiranya itu yang terbaik untuk karier dan negara.

Khairul Hafiz antara atlet di bawah naungan Poad yang dilihat paling berjaya apabila berjaya memecahkan rekod acara 100m berusia 18 tahun milik Watson Nyambek dengan catatan 10.18 saat ketika beraksi di Sukan Malaysia Sarawak.

Kehebatannya makin terserlah apabila menamatkan kemarau pingat dalam acara pecut di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas kali terakhir dimenangi Nazmizan Mohamad di Hanoi pada 2003.

Haiqal pula turut cemerlang apabila dia berjaya mempertahankan gelaran raja pecut Asia Tenggara pada Sukan SEA Filipina yang lalu.

Disiarkan pada: August 21, 2020 @ 10:42pm
d