rap

Oktovia Manrose sudah lapan tahun menjanda

Oleh Najiy Jefri

PELAKON Oktovia Manrose, 29, mendedahkan dia masih menggalas status ibu tunggal seorang anak, sejak lapan tahun lalu.

Oktovia berkata, dia tidak pernah terlalu berahsia mengenai kehidupan peribadinya, tetapi lebih selesa untuk tidak bercerita perkara yang sudah lama berlaku.

"Saya pernah berkahwin, bercerai dan kini membesarkan anak tunggal bernama Muhammad Rayyan Zafariel, 8.

"Disebabkan perkahwinan terdahulu yang gagal, saya lebih memilih untuk berada dalam zon selesa sahaja. Ia secara tak langsung, membuatkan saya tidak terlalu berkongsi hal peribadi.

"Begitu juga perkongsian di media sosial, saya jarang memuat naik hal peribadi tetapi lebih berkongsi urusan kerjaya sahaja," katanya

Akui kakak kepada pelakon, Aprena Manrose ini, dia mendirikan rumah tangga pada usia muda dan menyifatkan apa yang berlaku dalam fasa hidupnya sebagai lumrah kehidupan.

"Bagi saya apa yang berlaku adalah lumrah kehidupan. Malah, kekuatan yang saya ada untuk harungi hidup ini pun datangnya daripada bapa.

"Meskipun kami jarang bertemu, tetapi dia (bapa) tidak pernah menilai dan sentiasa percaya saya akan jadi individu yang lebih baik.

"Saya berkahwin ketika usia 20 tahun pada 2011 dan bercerai dua tahun kemudian," katanya.

Tambah Oktovia, anak tunggalnya adalah anugerah dan amanah Allah SWT yang perlu dijaga dengan baik.

"Bukan mudah membesarkan anak pada usia muda. Apa yang pasti, anak menjadi kekuatan semangat kerana dialah saya mampu lupakan kisah pedih yang berlaku sebelum ini.

"Anak ini amanah dan saya perlu lakukan yang terbaik untuk dia. Saya dan bekas suami juga selalu berhubung melalui ibu mentua, demi anak," katanya. 

Oktovia adalah anak kedua daripada tiga beradik, hasil perkongsian hidup penyanyi dangdut, Iwan Syahman dan pelakon Allahyarham Rosnah Mohd Noor.

Terdahulu, Oktovia ditemui pada majlis sidang media dan menandatangani kontrak perjanjian Absolute Talents & Management di Bangsar, Kuala Lumpur.

Selain Oktovia, sembilan selebriti lain turut bernaung di bawah pengurusan berkenaan selama setahun ialah Nadiyah Shahab, Ikmal Amry, Scha Elinnea, Harris Anuar, Nabil Aqil, Yasmine Ow,Nurin Afiqah, Aisar Khaleed dan Najla Shamsul.

Disiarkan pada: August 24, 2020 @ 1:47pm
d