mutakhir

UTM raikan 508 kakitangan cemerlang

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SERAMAI 508 warga kerja Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Penghargaan Citra Karisma 2020 di Dewan Sultan Iskandar, UTM, Johor Bahru, hari ini.

Acara tahunan universiti itu turut menyaksikan Jabatan UTM International merangkul Anugerah Inovasi Naib Canselor dengan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM10,000, sijil, trofi dan piala pusingan.

Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Wahid Omar berkata, anugerah itu diberikan atas sumbangan memberangsangkan jabatan itu dalam peningkatan kesohoran global dan penjenamaan UTM di peringkat antarabangsa menerusi penganjuran Persidangan Asia-Pacific Association for International Education (APAIE) 2019.

"Ia menjadi pemangkin bagi mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan kakitangan supaya sentiasa memperbaiki prestasi kerja, lebih kreatif, inovatif dan menghasilkan 'output' lebih cemerlang secara konsisten.

"UTM adalah sebuah universiti awam yang memiliki pelbagai keunikan dan kepakaran yang patut dibanggakan. Walaupun negara kini dibelenggu oleh pandemik Covid-19, universiti masih dapat beroperasi dengan baik.

"Ini terbukti apabila tahun ini, berkat kesungguhan dan dedikasi semua staf, universiti berjaya melonjak ke kedudukan 187 di peringkat dunia berdasarkan kepada QS World University Rankings," katanya selepas menyempurnakan majlis itu, hari ini.

Wahid berkata, pihaknya akan melakukan usaha berterusan bagi menambah baik sistem penyampaian universiti sekali gus mewujudkan persekitaran kondusif dan meningkatkan penghasilan.

Disiarkan pada: August 24, 2020 @ 3:43pm
d