mutakhir

Maut dihempap lori sendiri

Oleh Roselan Ab Malek

LELAKI maut apabila dihempap lori sarat muatan kayu getah yang terbalik di Kampung Relai, Kerambit, dekat Lipis, hari ini.

Dalam kejadian pada 12 tengah hari itu, mangsa Tan Kim Han, 29, maut akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, ketika kejadian mangsa sedang memotong dan memindahkan kayu getah di atas lori.

Bagaimanapun, katanya, lori berkenaan tiba-tiba bergerak sendiri, sebelum melanggar bahagian kanan tebing dan terbalik.

"Mangsa yang ketika itu berada di atas kepala lori terjatuh dan dihempap lori berkenaan.

"Mangsa yang berasal dari Bukit Beruntung, Rawang, Selangor disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya hari ini.

Azli berkata, hasil pemeriksaan dan siasatan mendapati tiada kesan perlakuan jenayah dan mangsa dipercayai maut kerana dihempap tayar sebelah kanan lori terbabit.

Katanya, mayat dihantar ke Forensik Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.

"Bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan di kepala," katanya.

Disiarkan pada: August 26, 2020 @ 7:47pm
d