utama

[TERKINI] PRK Dun Slim

Oleh Wartawan HM

HARI ini seramai 22,749 pengundi menunaikan tanggungjawab memilih wakil mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim.

PRK Dun Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas, S Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Sebanyak 12 pusat mengundi dibuka itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Sulaiman; SK Trolak Utara; SK Trolak Selatan; SK Seri Besout; SK Besout 3 dan 5; SK Kuala Slim; SK Slim River; SK Aminudin Baki; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungkai; SJKT Ladang Kelapa Bali dan SJKT Trolak.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

PRK DUN Slim turut mencatat sejarah sebagai pilihan raya kedua berlangsung dalam kebiasaan baharu susulan pandemik Covid-19 selepas PRK DUN Chini bulan lalu.

5.30 petang: 12 pusat mengundi PRK DUN Slim ditutup.

3 petang: Peratusan keluar mengundi setakat ini 60 peratus. Waktu tutup pusat mengundi pada 5.30 petang. SPR

2 petang: Peratusan keluar mengundi bagi PRK DUN Slim setakat ini sudah 53 peratus. SPR

1.50 tengah hari: Sebanyak 41 peratus pengundi biasa sudah keluar menunaikan tanggungjawab mereka setakat 1 tengah hari ini: SPR


11 pagi: Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, sebanyak 29 peratus keluar mengundi setakat ini.

Beliau berkata, ramai warga emas keluar mengundi pada sebelah pagi menyebabkan keadaan di beberapa pusat daerah mengundi sedikit sesak.

SPR sebelum ini menjangkakan 85 peratus pemilih akan keluar mengundi pada PRK kali ini.

9.45 pagi: Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz ,43, berpuas hati dan berterima kasih kepada pengundi yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari pengundian, hari ini.

9 pagi: Presiden Parti Makkal Sakti, Datuk Seri RS Thanenthiran berkata, suasana pengundian norma baharu berjalan lancar dengan pengundi didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka dan mematuhi masa dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

8.30 pagi: Pengundi pertama, Sharudin Hussin, 75, membuang undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Trolak sebaik pusat mengundi dibuka.

8 pagi: Sebanyak 12 pusat mengundi membabitkan 54 saluran dibuka mulai 8 pagi hingga 5.30 petang.

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim
  • Disiarkan pada: August 29, 2020 @ 10:00am
    d