mutakhir

Tiada maklumat murid sekolah di Subang positif Covid-19

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menerima sebarang maklumat berhubung seorang murid sebuah sekolah di Subang yang dikesan positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika dihubungi berkata, setakat ini tidak ada dalam makluman KKM berhubung kes berkenaan.

Terdahulu, satu portal berita melaporkan seorang murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di Subang positif Covid-19.

Laporan yang memetik pengerusi sekolah itu sebagai mengesahkan bahawa ia membabitkan murid darjah dua.

Murid itu dilaporkan pergi mengunjungi Malaysia Timur sebelum kembali awal bulan ini.

Dia kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Sekolah berkenaan juga dilaporkan sedang menunggu arahan dari Jabatan Pendidikan mengenai sama ada sekolah itu mesti dibuka atau ditutup.

Sekolah itu juga memberi cuti khas pada hari Selasa, dan hanya akan dibuka pada hari Rabu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 29, 2020 @ 9:06pm
    d