vroom

Ciri 11 penumpang [METROTV]

Oleh Lizam Ridzuan

KIA Grand Carnival Serba Baharu generasi ketiga mula diperkenalkan pada 2017 dan versi baharu 2020 yang boleh memuatkan sehingga 11 penumpang dilancarkan pada pertengahan Mei lalu.

Buat masa ini, hanya satu varian ditawarkan di pasaran tempatan berbanding dua varian sebelum ini.

Vroom memandu uji model kenderaan pelbagai guna (MPV) ini untuk menilai ciri ruang dalaman, prestasi enjin dan elemen praktikal ditawarkan.

Melihat kepada rekaan luaran, jika dibandingkan generasi sebelum ini, sudah pasti yang terkini tampil lebih menarik dengan ciri lebih elegan.

Pada bahagian hadapan, rekaannya menampilkan elemen lampu projektor halogen dan lampu nyalaan siang (DRL) bergaya.

Gril radiator dan perumah lampu kabus dengan elemen krom antara ciri terkini diperkenalkan untuk penggayaan lebih segar.

Ia didatangkan dengan rel bumbung bersepadu untuk pilihan membawa lebih muatan malah rim aloi 18 inci antara padanan menarik daripada pengeluar.

Meskipun panjangnya 5,115 milimeter (mm), lebar 1,985mm dan 1,740mm tinggi, ia direka dengan baik terutama pada tiang C dan D untuk ruang landasan pintu gelongsor.

Spoiler, lampu brek ketiga dan antena sirip jerung antara ciri terkini MPV ini.

Penulis lebih menggemari susunan kedudukan untuk lapan penumpang kerana ia menawarkan konsep 'kerusi kapten' pada baris kedua dengan bahagian tengah dilipat untuk laluan.

Baris keempat yang menawarkan tiga lagi tempat duduk dilihat lebih sesuai kepada kanak-kanak dan jika digunakan untuk dewasa, ia sesuai bagi perjalanan pendek.

Selain selesa, ruang bagasi juga luas, ia boleh ditukar daripada 33 liter kepada sehingga 2,355 liter dengan hanya melaras kerusi.

Papan pemuka dihasilkan daripada material lembut menyerlahkan sentuhan elegan.

Malah ia dilengkapi pemain multimedia HMI (human-machine interface) bersaiz tujuh inci dan fungsi ketersambungan aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto.

Untuk kemudahan penumpang, pengeluar MPV ini menyediakan empat sambungan pengecas USB termasuk pada baris keempat, ruang simpanan dan meletak barangan, tempat meletak air, pelindung cahaya serta pendingin udara tiga zon boleh laras.

Pemandu pula dibekalkan dengan meter gabungan analog dan TFT mono LCD bagi maklumat berkaitan perjalanan serta jarak penggunaan bahan api.

Untuk kemudahan keluar masuk, Kia Grand Carnival ini dilengkapi pintu gelongsor automatik pada kedua-dua bahagian dan pintu belakang luas, namun dibuka secara manual.

Untuk pemanduan, MPV ini dikuasakan enjin 2,199cc CRDi diesel-turbo yang menghambur kuasa kuda 200PS pada 3,800rpm dan tujahan tork maksimum 400Nm pada 1,750 hingga 2,750rpm.

Ia bukan saja menawarkan tenaga berterusan yang lancar malah responsif terutama jika hendak menukar lorong atau memintas kenderaan dengan muatan enam penumpang.

Transmisi lapan kelajuan automatik meningkatkan prestasi dan penggunaan bahan api.

Ia yang dibina di atas platform yang sama dengan model kenderaan utiliti sukan (SUV) Kia Sorento memberikan pengendalian mantap.

Semua kelancaran dan keselesaan ini hasil daripada padanan suspensi hadapan McPherson Strut dan Multi-link bagi suspensi belakang.

Selain itu, roda stereng kuasa hidraulik memberikan kawalan lebih baik.

Sistem keselamatan juga dilengkapi pada model ini seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), enam beg keselamatan, Kawalan Bantu Mula-Bukit (HAC), ISOFIX, Sistem Bantu Brek (BAS) dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Secara keseluruhannya, Kia Grand Carnival ini sesuai dan ideal buat mereka yang mempunyai ahli keluarga ramai serta mahukan sebuah kenderaan dengan ciri prestasi dan keselesaan.

Pengendalian mantap, ruang dalaman fleksibel, 11 penumpang dalam satu masa, ciri keselamatan lengkap adalah ciri dan kelebihan utama model MPV pemasangan tempatan (CKD) dalam segmen-D ini.

Empat warna ditawarkan iaitu putih, perak, hitam dan metal yang dijual pada harga RM179,888 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan lima tahun pengeluar atau 150,000km, yang mana lebih dahulu.

Disiarkan pada: August 30, 2020 @ 6:15am
d