mutakhir

Naik taraf Gerbang Malam RM2 juta [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

IPOH: Pasar yang menjadi tarikan pelancongan di bandar raya ini iaitu Gerbang Malam akan dinaik taraf membabitkan peruntukan RM2 juta.

Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Mazlan Abd Rahman berkata, secara teknikalnya peruntukan itu sudah diluluskan Kerajaan Persekutuan untuk diagihkan kepada kerajaan negeri.

"Selama 17 tahun beroperasi, sudah tiba masanya Gerbang Malam menjalani pembaharuan dan peruntukan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya, termasuk menjadikan kawasan perniagaan berbumbung.

"Kita berhasrat menjenamakan semula Gerbang Malam dan peniaga boleh mula memikirkan model perniagaan lebih menarik buat pelancong," katanya yang mewakili Datuk Bandar Ipoh melancarkan Ambang Merdeka anjuran Persatuan Kebajikan Usahawan Gerbang Malam di Ipoh, semalam.

Mazlan berkata, selain naik taraf Gerbang Malam, kawasan sekitar turut dicadang dibaiki khususnya infrastruktur dan jalan.

Menurutnya pembaharuan itu selari tema kemerdekaan negara yang ke-63, Malaysia Prihatin.

Gerbang Malam dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) namun, peniaga perlu menggunakan sistem giliran dengan hanya 60 daripada 129 orang dibenarkan berniaga pada satu-satu masa.

Disiarkan pada: August 31, 2020 @ 4:54pm
d