WM

Atasi ketakutan si kecil

Oleh Hafiz Ithnin

SI kecil terlalu penakut. Bukan suatu yang baharu. Malah, sudah biasa kita dengar apabila anak-anak ini menjadi terlalu ingin bertemankan ibu dan bapanya apabila mahu melakukan sebarang aktiviti.

Kaunselor berdaftar, Maznah Ibrahim menjelaskan, perasaan takut kanak-kanak adalah perkara yang biasa berlaku kerana mereka mempunyai jiwa yang amat sensitif dan mudah tidak selesa apabila berada pada persekitaran asing.

Jelasnya, anak yang takut boleh dilihat dengan jelas menerusi tingkah laku, percakapan atau riak muka dan paling ketara apabila mereka mula menonjolkan emosi tidak selesa seperti menangis.

"Situasi anak penakut ini juga boleh berlaku apabila mereka sering ditakut-takutkan orang di sekeliling mereka sendiri seperti mengatakan hal-hal yang tidak selamat atau berhantu kerana minda kanak-kanak lebih mudah untuk menyimpan dan menyerap perkara yang diperkatakan orang lain.

"Jadi, apabila kita ingin mendisiplinkan anak jangan sesekali menggunakan kaedah seperti hantu atau orang itu akan marah kerana ia adalah teknik mendisiplinkan yang tidak tepat. Malah, menyebabkan mereka tidak mampu berdikari," katanya.

Maznah berkata, jika berdepan dengan anak-anak yang terlalu penakut apabila berhadapan dengan orang lain seperti bertemu kali pertama dengan guru, ibu bapa perlu bijak mengawal keadaan anak terutama tidak merendahkan maruah mereka di khalayak.

"Ibu bapa perlu menjadi pendengar yang paling setia apabila si kecil katakan mereka tidak selesa jangan katakan 'tidak ada apa pun, cikgu je pun, apalah anak ayah ini penakut betul' kerana ia menyebabkan si kecil merasakan orang yang melindungi mereka tidak mempunyai kepercayaan dan ingin memalukannya sahaja.

"Sebaiknya ibu atau bapa tunduk atau duduk dengan mata sama paras dengan anak dan berikan kata-kata positif serta bersemangat kerana ia adalah teknik komunikasi yang mampu membuatkan anak lebih selesa dan merasakan jiwa mereka didengari," katanya.

Maznah turut menjelaskan, emosi kanak-kanak ini ibarat seketul ais di dalam lautan iaitu hanya sepuluh peratus sahaja dapat dilihat dan didengar ibu bapa. Selebihnya berada besar di dalam air yang jiwa mereka sebenarnya tidak dapat difahami dengan mata kasar ibu bapa.

Tambahnya, ibu bapa juga perlu mendidik anak untuk mempertahankan diri mereka apabila berdepan dengan situasi yang menyebabkan mereka takut seperti dimarah orang asing.

"Maksudnya, jika si kecil ditegur dengan cara yang keras ketika belajar misalnya, kita perlu mengajar anak untuk memberi maklum balas semula dengan menjelaskan keadaan sebenar.

"Contohnya, apabila dimarahi si kecil perlu didik untuk bercakap mengenai situasi sebenar yang berlaku dan sebagai orang dewasa kita jangan melihat atau mentafsir percakapan anak-anak itu tidak boleh dipercayai. Ini kerana sekiranya mereka sentiasa dituduh tidak bercakap benar, ia boleh memberi kesan kepada jangka masa panjang kepada tingkah laku mereka," katanya.

Katanya, anak penakut disebabkan terlalu risau melakukan kesilapan juga sebenarnya boleh dibendung dengan mendidik mereka untuk berani membetulkan keadaan.

"Sebagai contoh si kecil tersalah menulis atau menggunting sesuatu, berikan peluang kepada mereka untuk membetulkan keadaan dan perkara itu dapat menjadikan si kecil rasa lebih yakin pada masa depan," katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2020 @ 6:17am
d