vroom

Semangat merdeka

Oleh Lizam Ridzuan

SEMPENA Sambutan Hari Kebangsaan ke-63 lalu, Kelab Kereta Honda Civic (FCT Malaysia) menganjurkan konvoi 'Kembara Merdeka 2020' ke Cameron Highlands dengan lebih 40 kenderaan menyertainya.

Ahli FCT Malaysia membabitkan semua kaum dan antaranya berasal dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur serta Melaka.

Presidennya, Khalid Kasim berkata, selain konvoi, pihaknya juga sering mengadakan program amal dan sumbangan ke rumah anak yatim, orang tua dan asnaf.

"Bukan saja berkaitan kereta, kami turut bertukar pandangan bagaimana mahu menyumbang kepada komuniti dan pelbagai lagi.

"Kerana itu kami membabitkan semua kaum dalam setiap aktiviti dijalankan," katanya.

Sebuah lagi kelab, Generasi Alza Hitam Malaysia (GAHM) yang berpangkalan di Kuala Lumpur bergerak ke Kota Tinggi, Johor bagi menyertai acara hari keluarga dan sukaneka.

Lebih 40 kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza turut serta dalam konvoi.

Konvoi dimeriahkan dengan penyertaan kira-kira 100 lagi Alza daripada Kelab Alza Johor Bahru yang terdiri daripada gabungan lima kelab.

Tepat jam 12 tengah malam pada 31 Ogos lalu, peserta konvoi bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku sebagai satu daripada cara mengungkapkan semangat cintakan negara.

Program GAHM ini diusahakan penaung kelab, Mohd Firdaus Misni dan barisan ahli jawatankuasa lain.

Disiarkan pada: September 6, 2020 @ 6:18am
d