mutakhir

KASA bakal tubuh Unit Jenayah Alam Sekitar

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Unit Jenayah Alam Sekitar bakal ditubuhkan bagi membanteras aktiviti mengancam bekalan air dan alam sekitar, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim berkata, cadangan itu adalah kerjasama antara agensi penguat kuasa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya sudah berbincang dengan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai cadangan ini dan beliau bersetuju.

"Malah, cadangan sama akan dibincangkan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin bagi menyelaras tindakan agensi berkaitan," katanya.

Terdahulu, Tuan Ibrahim melakukan lawatan ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 di Bukit Badong, Bestari Jaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika ini tindakan penguatkuasaan hanya dilakukan di peringkat kementerian menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Agensi (penguatkuasaan) sudah ada, namun memerlukan sokongan agensi lain supaya penguatkuasaan dapat diperkasakan.

"Pembabitan polis dan agensi lain penting bagi memastikan jenayah pencemaran tidak berlaku pada masa depan," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, unit itu dicadang diletakkan di bawah sektor keselamatan, memandangkan isu air dan alam sekitar berpotensi menjejaskan keselamatan negara terutama ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata, KASA akan mempercepatkan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 selain bercadang untuk dibawa ke Parlimen pada sidang akan datang.

Disiarkan pada: September 7, 2020 @ 6:41pm
d