mutakhir

Ibu kota dilanda banjir kilat [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Hujan lebat lebih dua jam bermula 2 petang hari ini, mengakibatkan beberapa kawasan di ibu kota dilanda banjir kilat.

Antara kawasan terjejas termasuk Lebuh Ampang, Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Jalan Semarak, Lorong Ayer Leleh 5 dan Jalan San Ah Wing, Kampung Semarak.

Terdapat jalan utama yang dinaiki air menyebabkan beberapa kenderaan ditenggelami air dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Jurucakap Bahagian Operasi Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima tiga panggilan kecemasan antara 4.25 hingga 5.26 petang.

"Lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Titiwangsa, Jalan Tun Razak, Setapak dan Keramat membabitkan 17 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi.

"Pemantauan dilakukan di Lebuh Ampang mendapati banjir kilat setinggi 1.5 meter namun tiada mangsa terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, banjir kilat setinggi satu meter turut dilaporkan berlaku di Jalan Raja Alang, Kampung Baru dan Jalan Gurney Kiri Off Jalan Semarak.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dan mangsa yang terbabit di dua lokasi berkenaan.

"Anggota masih membuat pemantauan keadaan di lokasi banjir dan memastikan keselamatan orang awam," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe mengesahkan kejadian banjir kilat di Balai Polis Gombak seperti tular di media sosial.

Bagaimanapun, beliau berkata, banjir sudah mulai surut dan tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Disiarkan pada: September 10, 2020 @ 6:38pm
d