mutakhir

Bina tadahan air bukit sebagai alternatif

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Lebih 1,000 penduduk di Kampung Batu Papan, dekat sini, membina tadahan air bukit sebagai alternatif sekiranya bekalan daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) terputus.

Ini berikutan bekalan air disediakan AKSB kerap terputus sehingga menimbulkan keresahan penduduk terutama bagi mendapatkan keperluan air bersih.

Penduduk, Muhammad Faris Abdullah, 43, berkata kini mereka tidak rasa bimbang lagi jika berlaku masalah bekalan air AKSB terputus.

"Penduduk mengadakan gotong-royong selama dua minggu untuk menyiapkan tadahan air bukit sejauh tiga kilometer di puncak bukit.

"Ia tidak jauh daripada kampung ini dan siap semalam serta boleh digunakan dengan sempurna.

"Alhamdulillah, kini penduduk sudah ada dua pilihan untuk menggunakan air bersih dan tidak ada masalah lagi jika air bekalan disediakan AKSB terputus," katanya.

Disiarkan pada: September 10, 2020 @ 6:56pm
d