Kuala lumpur: "Itu tidak betul, tak tahu siapa buat cerita, setakat semalam tiada yang dipanggil.
Demikian komen Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki berhubung dakwaan 50 pekebun di Raub dipanggil pihaknya untuk siasatan lanjut.
Bagaimanapun, Azam mengesahkan kertas siasatan berhubung pencerobohan tanah milik kerajaan Pahang di Raub oleh pekebun durian itu sudah dibuka SPRM Pahang.
"Kita akan melihat isu rasuah dan salahguna kuasa dalam isu penerokaan tanah secara haram di sana (Raub).
"Setakat ini tiada yang dipanggil (50 pekebun)," katanya dalam sidang media selepas Forum 'Corporate Liability: Are You At Risk' di sebuah hotel di sini, hari ini.
Pada 1 Ogos lalu, Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pekebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri.
Tindakan diambil susulan kerugian ditanggung kerajaan negeri yang mencecah RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah di situ termasuk di kawasan hutan simpan.
Antara lokasi diceroboh ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit dan Tranum serta Tras.
Berita berkaitan: