mutakhir

Lelaki rakus ratah anak tiri ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Perbuatan jijik seorang lelaki merogol anak tirinya terbongkar selepas gadis terbabit membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mangsa berusia 16 tahun mendakwa dirogol bapa tirinya beberapa kali bermula tahun lalu serta pada Mac hingga Jun lalu di rumah mereka di daerah ini.

"Akibat kejadian, mangsa mengalami trauma dan kemurungan hingga dia takut menceritakan kejadian kepada ibunya sebelum memaklumkan kepada guru kaunseling di sekolahnya pada 14 September lalu.

"Bertindak atas laporan itu, polis menahan suspek berusia 41 tahun di sebuah restoran di daerah ini pada 1.30 tengah hari, Rabu lalu untuk siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram.

"Siasatan masih dijalankan dengan beberapa individu dipanggil bagi membantu siasatan. Mangsa juga sudah dirujuk ke sebuah hospital untuk pemeriksaan perubatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 untuk membantu siasatan," katanya.

Disiarkan pada: September 18, 2020 @ 7:43pm
d