mutakhir

Bandar Seri Coalfields jadi tempat buang sampah haram

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Kewujudan tempat pembuangan sampah haram di Bandar Seri Coalfields di sini, dilihat semakin membimbangkan.

Malah, kawasan pembuangan sampah itu turut dikesan di Desa Coalfields dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Shaid Rosli berkata, beliau kesal dengan pihak terbabit yang mengambil kesempatan membuang sampah di lokasi terbabit.

Malah, beliau mempersoal tindakan pihak berkuasa yang seolah tidak serius menangani perkara itu.

"Pembuangan sampah haram, siap ada kaunter buat bayaran pada lori-lori yang buang sampah.

"Penduduk Bandar Seri Coalfields dah bising kerana lalat dah serang. Begitu juga jalan menghala ke Desa Coalfields, belakang ini (Desa Coalfields) ada sungai," katanya menerusi status di Facebook (FB) miliknya, hari ini.

Shaid berkata, beliau turut meluahkan kebimbangan sekiranya ada pembuangan sisa toksik di kawasan terbabit.

Sementara itu, status FB Shaid mendapat perhatian netizen dan mereka turut meluahkan kebimbangan mengenai masalah itu.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 5:54pm
d