mutakhir

JUPEM lancar buku PTO 10 bencana [METROTV]

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bukan saja memainkan peranan besar dalam bidang pengukuran, pemetaan dan persempadanan darat dan maritim malah turut menyumbang kepada pengurusan bencana negara.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, JUPEM melalui kepakaran dan penyediaan maklumat 'geospatial' kepada agensi keselamatan mampu membantu pemulihan bencana di lokasi.

Menurutnya, pelancaran buku Peraturan Tetap Operasi (PTO) membabitkan 10 jenis bencana iaitu banjir, pencemaran air, pencemaran udara, tsunami, gempa bumi, pencerobohan tanah, tanah runtuh, wabak, utiliti, dan kebakaran hutan pastinya dapat memanfaatkan pelbagai pihak.

"JUPEM turut membantu Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menangani pandemik Covid-19 melalui aplikasi 'dashboard' peta interaktif dan Unmanned Aerial Vehicle (UAV).

"Malah, JUPEM bersama dengan badan pertubuhan bukan kerajaan dibawahnya berjaya mengumpul dana RM145,000 kepada tabung Covid-19 KeTSA," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Sambutan 135 Tahun JUPEM yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Zurinah Pawanteh dan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia, Datuk Sr Dr. Azhari Mohamed di Prima Ballroom, Wisma Lembaga Jurukur Tanah, Taman Melawati, di sini, hari ini.

Shamsul Anuar turut menyambut baik perancangan bagi pembinaan bangunan baru JUPEM yang dilengkapi dengan fasiliti yang selari dengan teknologi terkini.

"Saya difahamkan bangunan JUPEM sedia ada di Jalan Sultan Yahya Petra sudah hampir 70 tahun. Fasiliti dan struktur sudah tidak dapat menampung pembangunan pesat dan kemajuan teknologi semasa.

"Oleh itu, penjenamaan baru JUPEM ini akan diperhalusi lagi di peringkat kementerian secara menyeluruh daripada segi penambahbaikan fizikal dan perkhidmatan supaya ia selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0)," katanya.

Dalam majlis itu, JUPEM turut menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi Cerapan Matahari serentak terbanyak di Malaysia yang diadakan Ogos lalu.

Selain itu, JUPEM juga melancarkan buku kronologi sejarah dan pencapaian JUPEM bertajuk 'JUPEM: A Pictorial Journey - A Special Publication Book Commemorating 135 years of Excellence in Surveying and Mapping'.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 6:23pm
d