mutakhir

10 cedera kemalangan babit empat kenderaan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Seramai 10 individu cedera selepas sebuah lori, kereta dan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) terbabit dalam kemalangan berhampiran Taman Pudu Hulu, Lebuhraya Sungai Besi, di sini, hari ini.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Mohd Rozi Jusoh berkata, Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan jam 2.08 petang.

Menurutnya, enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu bersama jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati berlaku kemalangan membabitkan lori, sebuah kereta dan dua MPV.

"Mangsa seorang pemandu lori yang berada dalam keadaan separa sedar berjaya dikeluarkan anggota bomba manakala penumpang dan pemandu kereta serta MPV mengalami kecederaan ringan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Rozi berkata, mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk menerima rawatan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada 2.44 petang.

Disiarkan pada: September 27, 2020 @ 4:38pm
d