santai

Jibek kucing lagak ekstrem [METROTV]

Oleh Nurul Husna Mahmud

Perlu bergayut dalam 'harness' kira-kira satu hingga dua jam meniti laluan berhalangan mungkin fenomena biasa bagi anda yang melakukan aktiviti lasak berhalangan di Skytrex Sungai Congkak, Hulu Langat, Selangor. Namun kali ini luar biasa apabila disertai kucing jantan bernama Jibek.

Kucing dari segi tabiat, gemar tidur dan lebih suka 'melepek' di sofa atau dibelai, lain ceritanya bagi pengunjung istimewa itu apabila dibawa tuannya Azhan Dziaruddin, 39, mencuba aktiviti luncur keluang (flying fox).

Pada awalnya, Jibek kelihatan tidak selesa mengenakan 'harness' khas sepadan dengan saiznya yang mempunyai keberatan 7.5 kilogram itu mula membiasakan diri tergantung di dada tuannya ketika sesi latihan 'flying fox'.

Selain sut keselamatan itu, Azhan tidak lupa mengenakan topi bersaiz mini berwarna jingga sebagai pelindung tambahan dan reaksinya diam bersahaja mengundang rasa lucu dalam kalangan peserta yang mengikuti cabaran 'river thrill' baru-baru ini.

Kata Azhan, aktiviti bergayut atau 'flying fox' baharu pertama kali dilakukan bersama kucing kesayangannya itu menyifatkan Jibek antara 'buddy' aktiviti rekreasi paling setia apabila sering mengikuti dia ke mana-mana sejak 2017 lagi bermula dengan sukan pendakian.

"Jibek sudah terlatih dengan aktiviti lasak bermula dengan aktiviti pendakian dan baru-baru ini melakukan aktiviti paragliding sempena Hari Merdeka di Kuala Kubu Bharu.

"Pendedahan Jibek lebih banyak berbanding kucing lain membuatkannya tidak mudah takut selain selesa dikelilingi orang ramai. Apabila kehadirannya diterima dan haiwan itu sudah biasa melakukan aktiviti berkenaan memudahkan saya membawanya mengikuti aktiviti riadah di luar," katanya.

Menjelaskan sepanjang melakukan cabaran itu, kata Azhan, ketika 'flying fox', Jibek hanya diam dan hanya 'mengiau.'

"Bezanya Jibek ini berbanding dengan kucing lain ialah apabila saya kenakan harness dan gelungsur daripada satu stesen ke stesen lain, dia tidak banyak kerenah.

"Tidak menggelupur atau melompat tetapi reaksi 'dia' apabila tidak selesa akan mengiau. Mungkin atas sebab takut dengan bunyi air sungai yang deras di bawah trek tali ini.

"Mungkin juga berada dalam posisi tergantung membuatkan Jibek rasa penat dan lenguh hingga haiwan itu 'merengek.' Tetapi apabila dilepaskan di khemah sebaik selesai, saya tengok karakternya kembali seperti biasa," katanya.

Malah Azhan bersyukur sepanjang melakukan aktiviti itu, dia mendapat sokongan dan kerjasama peserta lain yang sanggup memberi laluan selain membantu sekali sekala mengendalikan Jibek.

"Saya berharap selepas ini hasrat mencuba aktiviti abseiling bersama Jibek di Sungai Pisang tercapai. Sekarang ini tengah latih supaya dia tidak takut bunyi air deras.

"Diharap Disember nanti boleh cuba aktiviti terbabit. Untuk air ketika ini saya bawa Jibek mandi sungai tiada masalah dan tidak buat ragam ketika berendam. Cuma Jibek sedikit sensitif," katanya.

Sementara itu, jurulatih rekreasi, Hazirah Herman, 21, pula bertanggungjawab membantu Azhan, mengakui tugasnya memastikan posisi dan postur selesa serta selamat bagi Azhan dan Jibek.

"Apabila diberitahu ada peserta istimewa iaitu kucing akan sertai aktiviti flying fox memang teruja sebab saya sendiri peminat haiwan itu. Memang terhibur tengok Jibek diam sahaja pakai 'harness' dan topi keselamatan.

"Apabila bergayut sekali sekala dengar suara mengiau tidak pasti sama ada itu jeritan ketakutan atau cara ekspresi gembira. Pada saya situasi itu memeriahkan lagi kumpulan peserta dan mereka bertambah semangat apabila lihat Jibek berjaya lepasi setiap cabaran," katanya.

Hazirah menyarankan teknik 'Butterfly' bagi mengelak berpusing-pusing ketika menggelongsor selain meminta Azhan sesuaikan kedudukan badan selesa buatnya setiap kali melepasi halangan," katanya.

Sementara itu Pengurus Skytrex Azlan Idrus berkata, ia satu pengalaman baharu buat pusat rekreasi termasuk pasukannya untuk mengendali peserta dalam kalangan haiwan peliharaan.

"Dalam norma baru, kami mengehadkan hanya 15 orang sahaja bagi setiap slot dan trek. Ketika ini hanya 'river thrill dan 'rapid extreme' dibuka dan 'double dare' ditangguhkan seketika.

"Sejak kami beroperasi, ramai yang berkunjung dan kami hanya membuka lima slot untuk setiap trek pada hujung minggu. Sebaiknya mereka mahu melakukan aktiviti di pusat ini kena tempahan secara atas talian.

"Terutama kalau ada permintaan istimewa seperti kami lakukan pada Jibek, kami ada persiapan tambahan iaitu tali keselamatan membantu dia tergantung sama. Apabila Azhan ada harness khas, tugas kami menjadi lebih mudah," katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2020 @ 6:20am
d