mutakhir

40 mangsa banjir dipindahkan [METROTV]

Oleh BERNAMA

Seremban: Dua kampung di Rantau sekali lagi dilanda banjir akibat limpahan air Sungai Linggi menyebabkan 40 mangsa membabitkan lapan keluarga terpaksa dipindahkan.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Seremban dalam kenyataan di sini, hari ini berkata, banjir berkenaan menyebabkan Kampung Sega Hilir dan Kampung Pasir dinaiki air sedalam 1.21 meter.

Kesemua mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), Sekolah Kebangsaan (SK) Sega Hilir.

"PPS telah dibuka pada 7.30 pagi tadi bagi menempatkan semua 40 mangsa banjir. Banjir berlaku di kawasan rendah berikutan limpahan air Sungai Linggi ekoran hujan pada 5.30 pagi tadi.

"Keadaan ketika ini adalah terkawal serta hujan renyai dan air di kediaman mangsa masih belum surut," menurut sekretariat itu.

Pada 22 September lalu, tiga kampung di kawasan berkenaan iaitu Kampung Sega Hilir, Kampung Stesen dan Kampung Pasir dilanda banjir ekoran limpahan air Sungai Linggi berikutan hujan lebat daripada 5.30 petang hingga 10 malam dan menyebabkan 40 mangsa daripada 12 keluarga terpaksa dipindahkan.

Disiarkan pada: October 1, 2020 @ 12:55pm
d