mutakhir

2 pembuli warga emas dituduh di mahkamah [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Bachok: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan melastik seorang wrga emas sehingga mendatangkan kecederaan, Khamis lalu.

Kedua-dua tertuduh, Mohammad Roslan Abdullah, 18, dan Muhammad Aziman Peli, 25, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor.

Mohd Dinie Shazwan memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hadir ke rumah keluarga Muhammad Roslan bagi melengkapkan laporan sosial.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Wan Bidah Wan Deraman, 67, dengan cara melastik di tangan kirinya pada kejadian di Kampung Banggol Pauh, jam 8.10 malam, Khamis lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Gayathri Sambath manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Zuraidah Abdul Aziz dan Hafilah Hamzah.

Mahkamah menetapkan 5 November ini untuk menjatuhi hukuman terhadap kedua-dua tertuduh.

Disiarkan pada: October 7, 2020 @ 2:25pm
d