mutakhir

Rokok seludup bernilai RM6.66 juta dirampas [METROTV]

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya merampas rokok seludup berjumlah RM6.66 juta dalam dua serbuan berasingan di kawasan Plaza Tol Kempas dan Bumi Hijau Pandan, semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan itu, dua lelaki yang juga pemandu lori berusia 45 dan 48 tahun yang membawa rokok seludup terbabit turut ditahan.

Katanya, serbuan pertama dilakukan di kawasan Plaza Tol Kempas pada jam 3 petang di mana polis menahan seorang lelaki berusia 45 tahun dan merampas 4.2 juta batang rokok (420 kotak rokok) pelbagai jenama dalam sebuah lori yang kesemuanya bernilai RM3.33 juta.

"Serbuan kedua dilakukan di Bumi Hijau Pandan pada jam 5.40 petang dan polis menahan seorang pemandu lori berusia 48 tahun dan merampas 4.16 juta batang rokok (416 kotak rokok) pelbagai jenama serta sebuah lori. Nilai rampasan kedua juga dianggarkan RM3.33 juta.

"Keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM6.66 juta termasuk cukai yang merupakan rampasan rokok seludup terbesar bagi tahun ini.

"Rokok yang sah satu kotak harganya RM18 manakala harga rokok seludup RM6, mesti orang cari yang murah, sebab itu permintaan tidak habis.

"Penyeludupan rokok seludup bukan perkara baharu, ada yang lalu jalan sah dan ada lalu jalan tidak sah. Bekalan rokok seludup ini untuk pasaran negeri dan juga luar Johor," katanya pada sidang media di Markas PPM Wilayah Dua, di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

Ayob Khan berkata, pihaknya percaya kebanyakan modus operandi sindiket penyeludupan rokok ini ialah tidak menyimpan bekalan mereka dalam stor kerana mudah dikesan oleh polis.

Katanya, modus operandi sindiket ini sama seperti yang lain iaitu mereka transit di perairan antarabangsa atau kawasan pantai timur sebelum rokok dipindahkan ke bot kecil.

"Bot kecil akan bawa ke daratan dan bila sampai darat, mereka terus buat pemunggahan, masuk lori dan dihantar ke tempat dalam negeri atau luar Johor.

"Kebanyakan mereka tidak simpan dalam stor gudang lagi kerana gudang ini mudah dihidu pihak berkuasa.

"Kita sudah cadangkan kesalahan ini dimasukkan ke dalam Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012) dan jenayah terancang sebab ini sindiket bukan individu, kita lebih mudah ambil tindakan terhadap mereka," katanya.

Menurutnya, untuk membanteras jenayah ini, polis perlu menahan semua yang terbabit termasuk ketua sindiket.

"Kita sudah kenal pasti 'kepala' di atas tetapi untuk kaitkan dengan aktiviti penyeludupan ini adalah sukar.

"Kita sudah cadangkan ini di Putrajaya supaya kesalahan itu dimasukkan di bawah Sosma," katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 2:41pm
d