mutakhir

JBPM mula sanitasi 10 premis

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Taiping: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengetuai proses sanitasi di 10 premis termasuk di Pusat Koreksional Kamunting, di sini, susulan kemunculan Kluster Batu bagi mengekang pandemik Covid-19.

Ketua Zon 2 JBPM Perak, Penguasa Kanan Bomba II Zaipulbahri Mat Rusok @ Hassan berkata, proses itu dimulakan di pusat tahanan terbabit sejak kelmarin, disusuli sembilan lagi kawasan termasuk sekolah dan masjid bermula semalam.

"Sanitasi sudah dilakukan di Masjid Jamek Kampung Pasir, Batu 4 ½ Kamunting; Masjid Jamek Kamunting; Masjid Kampung Expo; Masjid Jamek Bukit Jana dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (Perempuan) Treacher Methodist.

"Ia akan disusuli oleh SMK Bukit Jana; Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Jana, SMK King Edward VII dan SK Convent Kota yang dijadualkan berlangsung sehingga petang esok," katanya.

Katanya, proses sanitasi dibuat atas arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JBPD) dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama (LMS).

"Proses nyah cemar ini juga akan dilanjutkan ke premis lain khususnya surau di kawasan perumahan atau kampung sekitar pusat tahanan terbabit," katanya.

Selasa lalu, media melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan Kluster Batu di Perak melalui hasil saringan dalam kalangan kakitangan dan ahli keluarga di sebuah kem tahanan di Kamunting, Taiping.

Terdapat tujuh kes dikesan positif Covid-19 sewaktu kluster terbabit mula dikesan dengan kesemua mereka dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 9, 2020 @ 3:41pm
    d