arena

Semangat penyokong iringi perjuangan Sherman

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar : Penyerang import Kedah, Kpah Sherman berharap bekalan semangat daripada seluruh penyokong Kedah akan memberi kekuatan tambahan buatnya dan skuad Lang Merah dalam usaha memburu kemenangan pada aksi terakhir Liga Super menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh esok.

Sekalipun laungan 'Pulun Kedah Pulun' tiada dalam Stadium Perak, namun sokongan moral yang diterimanya daripada penyokong selama ini akan menjadi perangsang buatnya dalam aksi penting untuk mengekalkan Kedah pada tangga kedua dan seterusnya melayakkan diri ke pentas Piala AFC musim depan.

"Kami perlu lebih fokus serta komited pada setiap saat perlawanan tanpa leka dan tampil dengan penuh keyakinan meskipun beraksi di tempat lawan," kata Sherman yang sudah meledak lima gol dalam saingan Liga Super musim ini.

Menurutnya, tugas di Ipoh sudah pasti mencabar kerana Perak musim ini dilihat memiliki barisan seimbang di setiap posisi dan ini memerlukan usaha tambahan untuk membolosi benteng The Bos Gaurus.

"Perak kita tahu dibarisi oleh pemain-pemain yang hebat dan sebagai penyerang, saya perlu gandakan usaha untuk memastikan Kedah mencipta peluang untuk mendapatkan gol walaupun kita tahu benteng mereka agak kebal.

"Kami perlu terus bekerja keras berdasarkan pelan pasukan bagi memastikan perancangan yang diatur oleh jurulatih dapat dimanfaatkan sepanjang perlawanan itu.

"Saya juga yakin dengan keupayaan rakan-rakannya yang kini terus fokus dalam persiapan dan latihan dijalankan di Alor Setar untuk berjuang mencari sasaran yang diidamkan," katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2020 @ 6:40pm
d