arena

KBS tangguh program sukan kelolaannya

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan program sukan di bawah kendalian pihaknya dan agensi-agensi dibawahnya ditangguhkan hingga 31 Oktober bagi mengawal penularan Covid-19 yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, ia dikecualikan bagi latihan harian sukan di bawah program latihan sepenuh masa Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan sukan kebangsaan dengan mematuhi kawalan pergerakan dan pematuhan kepada SOP sepenuhnya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata keputusan itu dibuat berdasarkan perkembangan semasa mengenai penularan pandemik Covid-19 di negara ini menyebabkan sedikit kebimbangan ramai.

"Saya ingin juga mengingatkan semua atlet negara, jurulatih, pegawai sukan dan semua pegawai staf sokongan yang terbabit secara langsung dan tidak langsung agar tidak mengambil mudah SOP yang ditetapkan dan sentiasa mengamalkan kawalan kendiri serta mengikuti saranan-saranan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, atlet, jurulatih dan pegawai yang menjalani latihan sepenuh masa dan menginap di asrama pusat latihan MSN adalah dilarang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sehingga 31 Oktober kecuali bagi kes kecemasan dan mendapat kebenaran daripada MSN.

"Semua atlet perlu mematuhi arahan kawalan atau larangan pergerakan keluar masuk asrama bermula Isnin ini hingga 31 Oktober. Pergerakan atlet hanya terhad kepada asrama dan tempat latihan termasuk gimnasium atau klinik mengikut jadual masa, penjarakan fizikal dan mengikut SOP yang ditetapkan.

"Setiap atlet juga hanya dibenarkan keluar dari asrama seminggu sekali sahaja untuk ke satu lokasi tetap dengan kebenaran pengurus sukan dan jurulatih masing-masing.

"Atlet, jurulatih dan pegawai yang melakukan pergerakan keluar dan masuk ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, Kedah dan Klang atau pun kawasan zon kuning dan zon merah dalam masa seminggu kebelakangan ini adalah dilarang kembali ke asrama pusat latihan MSN sehingga 31 Oktober dan disarankan terus berada di lokasi masing-masing sehingga dimaklumkan kelak," katanya.

Reezal Merican berkata, semakan boleh dilakukan melalui aplikasi My Sejahtera untuk mendapatkan maklumat kawasan yang diwartakan sebagai zon kuning dan merah.

"Atlet, jurulatih dan pegawai juga hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dengan program-program berskala besar yang membabitkan orang ramai.

"Atlet, jurulatih dan pegawai sukan hendaklah mematuhi sepenuhnya SOP yang dikuatkuasakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta SOP Sukan dan Rekreasi yang sudah ditetapkan sebelum ini dan arahan baru yang dikeluarkan dari masa ke semasa.

"Atlet, jurulatih dan pegawai diwajibkan untuk memakai pelitup muka dan menyaring suhu badan dengan alat pengukur suhu yang disediakan di tempat-tempat yang ditetapkan seperti di asrama penginapan dan kafeteria atlet.

Sekiranya mendapati suhu badan melebihi dari yang sepatutnya, atlet, jurulatih dan pegawai dikehendaki terus melaporkan kepada Pusat Perubatan Sukan, Institut Sukan Negara (ISN) atau klinik berdekatan untuk tindakan dan arahan selanjutnya.

"Sekiranya atlet, jurulatih dan pegawai mengesyaki atau disyaki mempunyai kontak rapat dengan sesiapa yang disahkan positif Covid-19, ataupun sekiranya mempunyai simptom berkaitan, perlulah juga melaporkan diri ke Pusat Perubatan Sukan ISN bagi tindakan selanjutnya serta buat pengasingan kendiri sebelum arahan seterusnya diberikan oleh pegawai perubatan ISN dan pegawai sukan MSN yang berkaitan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 10, 2020 @ 9:44pm
    d